Pergerakan Jemaah Haji Malaysia Lancar

. Sabtu, 28 Desember 2013


GURUN – Pergerakan jemaah Malaysia untuk menunaikan haji pada tahun ini berjalan lancar dengan sebahagian besar daripada 5,712 jemaah telah berlepas ke Tanah Suci dan kini berada di Madinah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata situasi semasa di Makkah dan Madinah adalah baik dan masih terdapat rombongan jemaah akan berangkat ke sana dalam tempoh terdekat.

“Lima penerbangan terus dari Kedah juga sudah habis, cuma ada lagi jemaah dari Kedah yang akan berangkat tetapi menggunakan penerbangan di Pulau Pinang dan sebahagian melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Perkembangan di Makkah daripada laporan yang saya dapat, dalam keadaan baik. Para petugas jemaah haji dan pihak hospital sentiasa berada dalam suasana siap sedia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bangunan St John Ambulans Kedah Tengah, di Taman Gurun Jaya di sini Sabtu.

Katanya kesesakan di Makkah berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini berikutan pengurangan kuota 20 peratus yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah haji dari semua negara.

“Pengurangan kuota itu sebab ada sebahagian daripada Masjidil Haram dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan semula. Bukan selesa sangat tetapi masih dapat menampung keperluan di Makkah khususnya… di Madinah tidak ada masalah.

“Setakat ini kita belum dapat laporan kematian. Pengurusan penempatan di asrama pula berjalan dalam suasana yang baik,” kata Jamil Khir.

Terdahulu pada majlis berasingan, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM17,200 kepada 40 keluarga di kampung Sungai Bongkok yang terjejas akibat banjir dikawasan itu 10 Sept lepas.

“Sebanyak 40 keluarga terlibat, 26 daripadanya dipindahkan ke surau kampung berkenaan manakala 14 keluarga lagi tidak berpindah.

“Kita akan berusaha untuk menangani masalah aliran air dengan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan sungai,” katanya. – BERNAMA

0 komentar: